Pergaulan Pelajar


Adakah pergaulan pelajar di Universiti Teknologi Petronas terlalu bebas sehinggakan terdapat pelajar tahun pertama yang menulis kepada akhbar dan seolah-olah menyatakan bahawa pergaulan bebas pelajar UTP amat mengaibkan. Persoalannya ialah adakah pernyataan itu benar, atau semata-mata bersifat konservatif? Saya juga telah belajar di universiti ini selama dua tahun, dan saya rasa saya juga berhak memberi pendapat saya berkenaan perkara ini yang menarik perhatian saya.

Tidak dapat disangkalkan bahawa terdapat pelajar lelaki yang berada di bawah blok asrama perempuan dan berbual-bual dari tengah malam sehingga ke waktu pagi. Namum demikian, patutkah dan perlukah kegiatan tersebut dipertikaikan?

Dari segi agama, kegiatan seks atau perbuatan maksiat memanglah salah, tidak mengira sama ada agama itu Islam, Kristian, Buddha ataupun Hindu. Malah orang yang tidak beragama (atheist) juga berpendapat bahawa kegiatan seks luar nikah atau sebarang perbuatan maksiat adalah perbuatan yang tidak berakhlak.

Saya juga tidak dapat menafikan bahawa perbuatan berpelukan di hadapan orang ramai tidak sedap dipandang orang lain, tetapi kita tidak seharusnya begitu cepat memberi komen dan melabelkan perbuatan tersebut sebagai perbuatan seksual. Pendek kata, kita harus mengikiskan sikap judgemental yang kita miliki.

Masalah pelajar-pelajar keluar pada waktu malam untuk menonton wayang ataupun berada di gerai-gerai mamak untuk minum seolah-olah menjadi dosa. Adakah perkara itu benar? Saya percaya bahawa jika universiti begitu berazam untuk menghindari kita daripada keluar pada waktu malam, mengapa pula pintu pagar universiti tidak ditutup pada tengah malam? Bukankah mudah untuk pihak berkuasa universiti untuk mengeluarkan arahan kepada Jabatan Sekuriti untuk menutup pintu pagar universiti apabila tiba masanya?

Namun, pihak berkuasa universiti tidak mengambil tindakan begitu. Adakah kita patut menyoal pula mengapa mereka membiarkan pelajar-pelajar keluar pada waktu malam begitu sahaja? Saya rasa tidak sama sekali.

Apakah salahnya untuk keluar sekali-sekala pada waktu malam untuk minum dan makan? Apakah salahnya untuk berseronok sekali-sekala? Apakah yang menyebabkan kita akan dituduh mencemarkan nama baik universiti pula? Adakah salah kalau kita memilih untuk minum dari malam sehingga ke pagi? Bukankah itu kebebasan yang diberikan oleh pihak universiti? Kita tidak menyalahgunakan kebebasan tersebut.

Janganlah kita sentiasa memikirkan bahawa bergaul dengan orang yang berlainan jantina itu tidak baik dari segi agama. Tuhan mencipta lelaki dan perempuan dengan sebab-sebab tertentu. Saya berasa amat sedih sekali apabila melihat golongan lelaki enggan atau kurang bergaul dengan golongan perempuan. Adakah berbual-bual dan duduk dengan orang yang berlainan jantina itu dianggap salah?

Penulis artikel, J SAD, tidak menyatakan jika beliau ada ternampak sebarang perbuatan maksiat ataupun tidak. Beliau hanya menyatakan bahawa pelajar-pelajar lelaki suka berpeleseran di blok asrama perempuan, terdapat pelajar-pelajar yang berpelukan di hadapan blok asrama dan pelajar-pelajar suka keluar pada waktu tengah malam. Pada asasnya, saya rasa tidak ada apa-apa yang haram asalkan tidak sampai ke tahap bercumbu-cumbuan ataupun berkhalwat.

Pada dasarnya, apa yang J SAD tidak berpuas hati adalah sikap pelajar-pelajar UTP yang bergaul secara bebas. Namun begitu, apakah salahnya kita bergaul bebas? Adakah kerana pergaulan secara bebas itu amalan orang barat maka itu adalah jahil? Amalan atau budaya barat tidak semestinya memberikan kesan yang negatif, dan asimilasi budaya barat tidak bermakna budaya timur kita diketepikan.

Jika J SAD berpendapat bahawa pelajar-pelajar UTP suka bergaul secara bebas, mengapa pula terdapat segregasi jantina dalam kuliah pula? Tahukah anda betapa susahnya pensyarah-pensyarah meminta pelajar bergaul dengan semua rakan tanpa mengira jantina? Tahukah anda terdapat juga pensyarah-pensyarah yang tanya mengapa pula terdapat satu kawasan dalam dewan kuliah yang “dikuasai” oleh pelajar lelaki dan satu lagi kawasan oleh perempuan? Saya rasa kita boleh membuat kesimpulan bahawa pergaulan secara bebas itu bukannya satu isu yang patut dipertikaikan.

Jikalau pelajar-pelajar UTP memang bergaul dengan bebas sekalipun, selagi segala perbuatan tidak melampaui batasan agama ataupun moral, dengan tegasnya saya ingin tanya, “Adakah itu salah?

Kita patut faham bahawa dewasa kelak, kita akan bekerja dengan orang yang berlainan jantina, kaum dan agama. Kita perlulah membiasakan diri kita dengan keadaan tersebut sekarang juga. Kita perlulah menjalinkan hubungan rapat dengan rakan-rakan kita tanpa mengira latar belakang mereka, tidak kiralah sama ada mereka lelaki ataupun wanita.

Adalah menjadi hak kita untuk bergaul dan berkenal-kenalan dengan sahabat. Saya rasa bahawa orang yang berfikiran seperti J SAD membuat kesimpulan yang ekstrem dan kurang munasabah bahawa pergaulan bebas itu tidak baik. Pergaulan bebas, pada dasarnya, tidak mendatangkan apa-apa kesan buruk kepada kita. Yang patut dipersalahkan ialah nafsu dan kuasa kawalan diri kita yang lemah. Kita tidak patut menyalahkan pergaulan bebas sebagai faktor kegiatan maksiat. Sebaliknya, kita hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana kita berjaya ditipu oleh syaitan untuk melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh. Saya tidak percaya bahawa jika kita tidak bergaul dengan bebas, maka kegiatan maksiat akan dikurangkan. Tidak sama sekali! Selagi kita dikawal oleh nafsu kita, selagi itulah kegiatan maksiat akan tetap berlaku.

Justeru, tidak salah kita bergaul secara bebas. Pergaulan itu menjadi salah apabila kita melampaui batasan moral kita. Yang harus dipersalahkan itu hanyalah diri sendiri. Janganlah kita menjadikan konsep pergaulan itu sebagai bahan kritikan atau cemuhan pula. Sebelum kita memberi sebarang kritikan, baiklah kita mencerminkan diri dahulu.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: